rss

Contributors

Tuesday, March 23, 2010

Royalti Minyak 20%: Hak Rakyat Sabah Yang Lama di Nafikan

"Anwar memberitahu, antara agenda pakatan pembangkang yang akan dijelaskan ialah mengenai royalti minyak yang perlu dinaikkan kepada 20 peratus bagi Sabah, Sarawak dan Terengganu memandangkan semua negeri tersebut kebetulan merupakan negeri termiskin."

Membaca kenyataan ini bagi anak-anak Sabah, Sarawak, dan Terengganu yang telah lama memperjuangkan tuntutan menaikkan royalti minyak, sudah pasti berasa sedikit gembira kalaupun tidak sangat gembira.

Berita yang sudah lama dinanti-nantikan ini pastinya suatu perkhabaran yang indah untuk menjadi halwa telinga mereka yang telah lama merasa tertindas di tanahair sendiri.

Jika hendak mengharapkan kerajaan sekarang ini, bolehlah dikata bagaikan bermimpi di siang hari, 5% pun kalau boleh ada yang hendak cilok. Adalah sangat tidak patut Negeri Sabah dan Terengganu yang kaya dengan hasil minyak jadi negeri termiskin di Malaysia..

Kami tidak mengharap untuk jadi negeri terkaya tetapi memadailah sekiranya rakyat Sabah mendapat peluang pekerjaan dengan gaji yang mampu untuk menyara diri dan keluarga. Tidak perlulah anak-anak Sabah berhijrah beramai-ramai ke Semenanjung seperti yang berlaku pada hari ini demi untuk mencari peluang rezeki yang lebih terjamin. Kehidupan anak-anak Sabah sekadar untuk hidup sahaja kerana walaupun pendapatan lebih lumayan sekiranya bekerja di semenanjung, wang yang dikumpul bertahun apabila dibawa balik ke Sabah paling lama pun akan bertahan hanya sebulan sahaja. Dengan kos tambang pergi balik sahaja menyamai gaji 2,3 bulan yang diperolehi di semenanjung bagi yang telah berkeluarga. Bukankah perkara ini boleh menjejaskan hubungan dalam institusi kekeluargaan yang dilaung-laungkan oleh kerajaan. Memadaikah bagi orang tua di kampung berhubung dengan anak-anak yang jauh di mata dengan hanya menggunakan telefon? Itu pun sekiranya di kampung tersebut ada talian telefon.

Bagi mereka yang pernah ke Sabah pastinya tahu bagaimanakah keadaannya di sana, betapa jauhnya Sabah tertinggal dari arus pembangunan yang deras memacu ekonomi di semenanjung.

Simpati juga saya hulurkan kepada rakyat Terengganu yang mengalami nasib sama tak serupa dengan rakyat Sabah. Sudahlah royalti hanya lima peratus, itu pun hendak dinafikan oleh kerajaan Persekutuan dengan pembayaran wang ehsan kononnya.

Saya tidak tahu, siapa yang lebih malang antara Sabah dan Terengganu, tetapi yang pastinya kedua-dua negeri ini memang malang kerana mempunyai hasil bumi yang kurang dinikmati oleh anak-anak negerinya. Perkara ini boleh diumpamakan seperti 'itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan'.

Tuntutan untuk menaikkan royalti minyak ini bukanlah sesuatu yang baru bagi parti-parti politik Sabah. Inilah yang menjadi modal setiap kali pilihanraya tetapi malangnya tidak pernah mendapat jawapan yang menggembirakan dari pihak kerajaan persekutuan.

Dahulu kita dikejutkan dengan berita penahanan Datuk Dr Jeffrey Kitingan di bawah ISA atas tuduhan hendak membawa Sabah keluar dari Malaysia. Kenapa timbul soal begitu sekiranya Sabah hidup aman makmur di dalam Malaysia.

Rakyat mana yang akan berpuas hati sekiranya terasa negeri mereka dijajah, apa bezanya di bawah penjajahan British dahulu, hasil bumi dibawa balik ke England walaupun British mendakwa akan memajukan tanah jajahannya, bandingkan dengan situasi yang berlaku sekarang.

Kemanakah perginya hasil bumi Sabah yang kaya itu? Saya tidak sanggup pula andainya wujud Gerakan Sabah Merdeka seperti Gerakan Acheh Merdeka kerana tindakan sebegitu bukanlah jalan penyelesaian yang baik untuk rakyat. Tetapi siapakah dapat menghalang andainya kesedaran membela tanahair semakin membara di jiwa kami anak-anak Sabah andainya jalan diplomatik tertutup rapat pintunya.

Kerana bagi saya Anak Sabah Anak Malaysia, maju mundur biarlah bersama. Tiadalah namanya Malaysia andai tiada penyertaan Sabah dan Sarawak.

Nota: Ini adalah satu artikel lama yang saya tulis pada 2 tahun yamg lepas (24 April 2008) dan pernah dipaparkan di blog ini. Semasa saya menulis artikel ini, saya masih berada di semenanjung dan baharu sahaja berjinak-jinak dengan penulisan blog.

Artikel ini sengaja di paparkan semula bagi mengingatkan semua pembaca amnya dan anak-anak Sabah khasnya, betapa selama ini hak kita telah dinafikan, pemaparan semula ini juga bersesuaian dengan keadaan semasa iaitu RAKYAT SABAH AKAN MENDENGAR SENDIRI PENERANGAN MENGENAI PERJANJIAN PEMBAHAGIAN ROYALTI MINYAK SABAH OLEH YANG BERHORMAT MULIA TENGKU RAZALEIGH HAMZAH, CEO PETRONAS YANG PERTAMA PADA 2 APRIL 2010.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini, sering-seringlah berkunjung ke blog ini dan juga laman sabahkini.net.

Sesuai dengan motto blog ini,PERJUANGAN KEADILAN DAN HAK RAKYAT, HAPUSKAN DISKRIMINASI, blog ini akan bergabung tenaga dengan para blogger dari Persatuan Blogger Sabah yang diketuai oleh saudara Mutalib MD untuk memberikan sedikit info mengenai HASIL BUMI SABAH yang telah dinafikan kepada rakyat Sabah dulu, kini, dan harapnya TIDAK pada masa hadapan.


Sumber : asam-lambunau.blogspot.com

Orang Sabah dan Sarawak wajib tuntut royalti minyak 20%

  • Kedudukan Umno Sabah di peringkat pusat semakin kukuh. Ini berikutan kemenangan wakil-wakil dari negeri ini di dalam pemilihan jawatan semasa perhimpuan agung umno bulan lepas.
  • Lantaran dari itu, beberapa orang pemimpin dari negeri Sabah ini telah dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri didalam kabinet Najib yang baru dibentuk itu.
  • Sabah dan Sarawak yang kini menjadi penyambung nyawa kepada Barisan Nasional selepas liang lahat mereka sudah siap digali di Semenanjung.
  • Kemenangan Parti Rakyat Sarawak di Batang Ai baru-baru ini mengukuhkan andaian bahawa Najib sangat-sangat memerlukan sokongan masyarakat di Malaysia Timur.
  • Negeri Sabah pernah dipimpin oleh pembangkang. Parti Bersatu Sabah pimpinan Pairin Kitingan pernah menjadi pilihan orang-orang Sabah satu ketika dulu.
  • Tuntutan royalti minyak sebanyak 20% yang diperjuangkan oleh PBS mendapat sokongan kuat dari rakyat negeri Sabah.
  • Pada masa ini, royalti dari hasil minyak yang dinikmati oleh negeri pengeluar minyak seperti Terengganu, Sarawak dan Sabah ialah cuma 5% dan baki 95% lagi diambil oleh pusat.
  • Menifesto Pas Terengganu semasa pilihanraya 1999 dahulu antaranya ialah untuk menuntut kenaikan royalti minyak kepada 20% jika berjaya memerintah.
  • Malang buat rakyat Terengganu, mereka telah memilih Pas pada tahun itu tetapi royalti minyak telah ditarik secara zalim oleh kerajaan pusat setelah idea itu timbul dari seorang ahli Umno rakyat negeri itu juga.
  • Royalti minyak di Terengganu kemudian bertukar menjadi wang ehsan.
  • Fenomena wang ehsan mungkin tidak akan berlaku di Sabah dan Sarawak jika BN tumpas negeri ini.
  • Ini kerana, jikalau tewas di Sabah dan Sarawak, kemungkinan Pakatan Rakyat sudah berjaya menguasai Malaysia secara keseluruhannya.
  • PBS yang kini telah menyertai semula BN dan tuntutan 20% roalti minyak juga seperti telah hilang.
  • Pada saat Najib yang sangat terdesak kepada sokongan manyarakat Malaysia Timur. Maka, sekarang adalah masa yang terbaik untuk orang-orang Sabah dan Sarawak menuntut royalti dari hasil mahsul yang dikorek dan dicantas dari bumi negeri mereka.
  • Walaupun hasil negeri yang ada dilaporkan dimonopili oleh kepimpinan peringkat negeri. Tetapi sekurang-kurangnya, kenaikan royalti minyak ni sedikit sebanyak boleh memberi tempias kepada rakyat.
  • Jikalau tuntutan ini tidak dapat dipenuhi, maka rakyat di Sabah dan Sarawak harus pandai bermain tarik tali.
  • Beberapa pemimpin bolasepak Sabah dan Sarawak sendiri pernah mengugut agar kedudukan mereka di dalam Malaysia harus dikaji semula hanya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan FAM beberapa tahun dahulu.
  • Malah, pada ketika itu, ada penyokong-penyokong bola ini memijak-mijak bendera Malaysia.
  • Orang-orang seperti Anifah Aman dan Awang Mahyan mesti masih ingat lagi cerita ini.
  • Jikalau isu bola pun sudah membuat orang-orang Sabah dan Sarawak terfikir mengenai kedudukan mereka didalam Malaysia, inikan pula isu besar seperti royakti minyak ini.
  • Bukanlah maksud saya untuk meminta mereka keluar dari Malaysia, tetapi cukuplah dulu dengan cara mengertak untuk menukar parti kepimpinan negeri.
  • Sabah dan Sarawak yang selama ini seolah-olah dipinggirkan dan kini adalah masanya untuk mereka membantu memulihkan keadaan. Peluang sekarang sudah terhidang didepan mata.

Nota kaki :

Menurut laporan kewangan yang dikeluarkan oleh Petronas untuk tahun 2008, Sarawak merupakan negeri pengeluar minyak terbesar di Malaysia iaitu 49.8% diikuti Terengganu sebanyak 42.5% dan Sabah 7.7%.

Sunday, March 21, 2010

Oleh G. Manimaran

TheMalaysianInsider.com

KUALA LUMPUR, Feb 22 — Iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan pusat menerusi akhbar-akhbar Bahasa Malaysia semalam menimbulkan lebih banyak implikasi dan kekeliruan berbanding penjelasan, kata Tengku Razaleigh Hamzah (picture) hari ini.

Justeru tegas beliau, iklan satu halaman itu sekali gus menunjukkan tiada negeri yang mempunyai hak untuk mendapatkan bayaran tunai ataupun royalti termasuk Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, iklan muka penuh yang diambil oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhujah Kelantan juga tiada hak kepada bayaran minyak di bawah Akta Kemajuan Petroleum kerana sumber minyak yang menjadi persoalan terletak di kawasan tiga batu nautika, yang menafikan hak kesemua negeri.

“Iklan itu gagal untuk menyatakan bahawa kesemua minyak yang diperoleh di Malaysia ditemui di kawasan pesisir lebih dari tiga batu nautika, dan bagaimanapun Petronas (terus) membuat pembayaran kepada negeri-negeri ini.

“Dengan hujah yang diturunkan dalam iklan (semalam), Terengganu, Sabah dan Sarawak juga tidak layak menerima bayaran tunai lima peratus (biasanya dan dengan kurang tepat dirujuk sebagai royalti minyak).

“Kesemua terletak pada budi bicara kerajaan persekutuan,” kata beliau dalam pandangannya dikeluarkan hari ini.

Pada 28 Jan lalu beliau menegaskan pada satu ceramah perdana bahawa Kelantan layak menerima wang royalti lima peratus.

Pun begitu kata beliau, pada tahun lalu Petronas telah membayar RM6.2 bilion dalam bentuk bayaran tunai dengan RM3 bilion kepada Terengganu, RM2.3 bilion kepada Sarawak dan RM0.9 bilion kepada Sabah.

Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini menambah, oleh itu ada pihak tertanya-tanya atas dasar apa bayaran itu dibuat memandangkan petroleum hanya ditemui di kawasan luar pesisir tiga batu nautika.

Oleh itu tegas beliau, hujah untuk menafikan hak Kelantan daripada memperoleh bayaran tunai lima peratus atas dasar minyak berada di kawasan tiga batu nautika sebenarnya “satu penghinaan kepada kebijaksanaan” seseorang.

Semalam kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tersebut dalam akhbar-akhbar Bahasa Malaysia dengan menyasarkan pendirian Tengku Razaleigh dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam iklan satu halaman yang disiarkan di Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.

Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Tengku Razaleigh, bekas pengerusi dan pengasas Petronas, menambah bahawa pembayaran wang tunai lima peratus adalah manfaat dinikmati rakyat tetapi telah dinafikan oleh Umno Kelantan selepas 34 tahun bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.

Katanya, tiada pihak dengan fikiran waras akan melakukan ini sebagai satu tindakan, yang kononnya akan memanfaatkan kedudukan jangka panjang Umno di Kelantan, malah di mana-mana sahaja orang memerhatikan perbuatan seperti ini.

“Saya dituduh meletakkan kepentingan negeri berbanding kepentingan parti. Bagaimanapun isu ini melangkaui (kepentingan) Kelantan.

“Hujah yang diletakkan dalam iklan semalan mengetepikan hak semua negeri dalam soal sumber alam semula jadi, yang merupakan hak kedaulatan mereka,” katanya.

Ia juga menafikan perjanjian antara Petronas dan negeri-negeri terbabit dan mengetepikan tujuan asal penubuhan syarikat tersebut, kata beliau.

“Salah satu implikasi segera diturunkan dalam iklan penjelasan rasmi oleh Kementerian Penerangan semalam ialah Terengganu juga tidak layak untuk mendapatkan bayaran minyak (tunai).

“Ini bermakna selepas memotong kesemua bayaran apabila Terengganu jatuh ke tangan pembangkang (pada 1999) dan digantikan dengan wang ihsan, tiada asas sama sekali bagi janji kerajaan untuk kembali kepada bayaran tunai.

“Kesemua minyak Terengganu ditemui jauh di kawasan pesisir pantai,” katanya.

Disebabkan itu menurut beliau, apa yang terpakai kepada Kelantan juga diguna pakai ke atas Terengganu.

“Pada akhirnya, ia bukan persoalan politik ataupun personaliti.

“Ia bukannya pasal saya atau sesiapa berkata, ataupun di mana PAS dan Umno berdiri,” kata Tengku Razaleigh sambil menambah, ia sebenarnya berkaitan dengan pematuhan kerajaan dengan perjanjian bertulis yang diluluskan oleh Parlimen dan sama ada menghormati prinsip demokrasi berparlimen.

Tegas beliau, sama ada hak orang ramai dipenuhi ataupun tidak ia bergantung kepada siapa mereka mengundi.

“Melayan Terengganu dan Kelantan dengan cara ini, kita menafikan hak mereka kepada wang yang mereka berhak untuk memiliki, menafikan hak kedaulatan negeri mereka dan mengikis demokrasi berparlimen,” katanya.

Thursday, March 18, 2010

7 Ribu Hadir Di TER Bersama YBM Tengku Razaleihg Hamzah

"Satu perkembangan terbaru yang cukup baik rakyat Terengganu hadir mendengar pandangan dan hujah serta berdailog bersama YBM Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah isu royalti minyak yang dirampas oleh kerajaan Persekutuan/UMNO/BN bermula era Tun Mahathir menjadi perdana menteri.

Hampir sepuloh tahun negeri Terengganu dinafikan wang royalti minyak yang sepatutnya dibayar secara tunai oleh Petronas.

Kira-kira tujuh ribu hadir mendengar dan berdailog bersama YBM Tengku Razaleigh Hamzah mantan pengerusi Pertonas dan MP Gua Musang (UMNO/BN). Ucapan dan penerangan YBM Tengku kepada peserta dailog cukup baik dan cukup jelas. Umum rakyat Terengganu dan rakyat Kelantan kerajaan UMNO/BN telah menafikan dan merampas wang royalti untuk kedua-dua negeri tersebut telah melanggar perjanjian. Jelas kerajaan Persekutuan (UMNO/BN) mengkianati perjanjian dan menipu rakyat Terengganu dan rakyat kelantan mengenai siu sebenar wang royalti minyak petronas dengan berbagai alasan yang direka oleh UMNO/BN dibawah teraju Datuk Najib Razak.

Ayuh semua rakyat Terengganu dan rakyat Kelantan malah seluruh rakyat Malaysia bangun bangkit dalam pilihanraya umum yang ke 13 untuk menumbangkan pengkhainat, penipu dan pembohong kepada bangsa ugama dan bahasa. Dan sekalung tahniah kepada YBM Tengku Tan Sri Razaleihg Hamzah hadir dan berdailog bersama rakyat Terengganu memberi penjelesan yang sebenar. Kepada pehak penganjur majlis dailog bersama YBM Tengku dan pehak pengurusan TER (Terengganu Egustrian Kuala Ibai ) sebagi venu untuk menjayakan satu majlis dailog yang terbesar pernah diadakan di negeri Terengganu.